Bismillahirahmanirrahim. In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful. Salam to all readers. =)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati."
(Riwayat: Bukhari dan Muslim)
Bila kita sebut soal hati, ramai orang mula mengaitkannya dengan perasaan-perasaan cinta, baitulmuslim dan sebagainya. Namun kita terlupa ada sesuatu yang lebih besar dan lebih penting yang perlu kita ketahui soal hati.
Saya percaya ramai di antara kita dari si rambut perang hingga ke si pemakai serban, pasti pernah merasai pergelutan hati atau lebih tepatnya dikenali sebagai penyakit-penyakit hati.
Bagi saya, di antara banyak-banyak penyakit, penyakit hatilah yang paling ditakuti.
Manakan tidak, apabila hati kita telah mati, kita mula tidak rasa apa-apa terhadap dosa yang kita lakukan.
Yang lebih saya takut, kita beramal, kita berjuang, tetapi timbangan amal kita kosong dek kerana penyakit hati yang terpahit di hati kita. Nauzubillahi min zalik.
Contoh penyakit hati?
Rasa hebat dengan diri sendiri juga penyakit hati.
Rasa tidak ikhlas berbuat baik juga penyakit hati.
Suka apabila orang memuji kita juga penyakit hati.
Memandang rendah terhadap orang lain juga penyakit hati.
Banyak.
Apabila berada di alam kampus terutamanya, kita biasanya akan ditaklifkan untuk memegang jawatan-jawatan terutamanya organisasi Rakan Masjid. Dari insan biasa yang tidak ada apa-apa, diangkat menjadi pimpinan untuk organisasi Islam di kampus bukan sesuatu yang mudah dan seronok.
Kita takut jika tidak dapat melaksanakan amanah itu dengan baik, namun kita jauh lebih takut untuk menjaga hati kita sewaktu memegang taklifan tersebut.
Al-Imam Az-Zahabi Radiallahu Anhu pernah berkata "Kami dahulunya masa mula belajar sedikit ada tidak ikhlas, tetapi bila lama belajar Allah rezekikan ikhlas."
Tipulah sekiranya kita kata tidak pernah ada langsung di dalam hati kita penyakit-penyakit hati.
Nah sekiranya kita telah berasa seperti itu pun sebenarnya petanda kita telah ada penyakit hati.
Terlalu banyak penyakit hati yang boleh hinggap di hati kita. Ujub, riak, takabur, sum'ah dan sebagainya.
Saya juga cukup risau, apabila kita telah menjadi seorang dai'e, kita mula memandang rendah kepada orang lain. Kita mula berburuk sangka terhadap orang lain. Sehinggakan kita merasakan kita lah yang paling soleh, yang paling betul dalam bab agama.
Saya teringat kata-kata naqib usrah kami, kadang-kadang kita taksub dengan diri kita sendiri, sehinggakan kita malu untuk melakukan kerja-kerja kecil dan tidak ternama seperti memegang plastik mengutip derma, menjaga lalulintas untuk program dan sebagainya.
Dan ingatlah syaitan itu tidak akan pernah mengalah dalam menyesatkan manusia. Suka untuk saya gambarkan bahawasanya syaitan sentiasa mempunyai dua plan. Iaitu Plan A ialah dengan menghasut manusia melakukan kejahatan. Namun apabila Plan A nya gagal dan manusia itu malah melakukan amal kebajikan, syaitan akan melancarkan Plan B iaitu meletakkan perasaan-perasaan seperti riak dengan kebaikan yang dilakukan.
Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah berkata, akhirnya yang mengetahui jiwa siapakah yang bersih, kita sendiri. Apabila diri kita bersih kepada Allah, kita dapat merasakannya. Pada hari hati kita kotor, kita juga dapat merasakannya.
Kalau kita boleh sampai suatu kehendak berugama hanya kerana Allah, kita akan mencapai pembersihan jiwa.
Pencinta Tuhan,
05.06.2014
doakan sarah, akak :) sembuh & terhindar dari segala penyakit hati yang ada. nice writing :)
ReplyDeleteameen. InsyaAllah. semoga kita semua terhindar dari penyakit2 hati. banyakkan istighfar :)
DeleteSemoga kita semua dapat menyembuhkan segala penyakit hati yang kita ada.
ReplyDeleteWahhhh.. Nizaaa!!! dah ada blog dah dia. Hehe.. Teruskan berbicara, akak rindu nak dengar kata-kata niza. Biarpun bukan lagi melalui suara, tapi dengan tulisan itu juga sudah bermakna.
Teruskan sharing. Nak baca lagi! \[^__^]/
Ameen kak in. insyaAllah sama-sama kita menjaga hati. :)
Deletesaya pun rindu akak sangat2. hehe. insyaAllah kalau ada masa terluang akan mula menulis. doakan..