Wednesday, 22 October 2014

Ceritera Ilmu


Bismillahirahmanirrahim. In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful. 
Salam to all readers. =)

Alhamdulillah 'Ala kulli hal, 
Sekarang hampir berakhir minggu ke lima semester pertama tahun terakhir di bumi UTP ini.
Pejam celik pejam celik masa berlalu begitu pantas meninggalkan kita.

Beberapa hari yang lepas telah berlangsungnya hari konvokesyen UTP ke-14 di mana ia merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh setiap insan yang bergelar pelajar di sini.
Kita sememangnya tidak sabar untuk keluar dari tempat ini, untuk akhiri zaman pembelajaran ini, tapi dalam masa yang sama bila kita tanya pada diri, sejauh mana ilmu fardhu kifayah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri kita ini telah kita kuasai. Kadang-kadang kita sendiri sangsi dengan ilmu yang kita miliki.

Manakan tidak otak kita seolah-olah telah didoktrin untuk belajar supaya cemerlang, supaya mendapat tempat dan gelaran pelajar cemerlang. Walhal selepas peperiksaan semua ilmu yang dipelajari telah hilang. 

Sedih.

Kadang-kadang kita mula berfikir dan mencari asbab kenapa kita yang dahulunya dikatakan 'budak scorer', 'budak straight As' mahupun 'top student' atau apa sekalipun gelarannya namun kini kita seolah-olah menghabiskan masa selama empat lima tahun belajar tetapi hakikatnya ilmu kita terasa masih kosong.

Persoalannya bukan ilmu itu makin payah dan susah bukan juga tahap kecerdikan kita semakin berkurang dan menurun, tapi berbalik kepada diri kita dan nawaitu kita di sini.

Hadis riwayat Ibn Hibban dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1997), hadis no: 78

“Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang sepatutnya dilakukan kerana mencari Wajah Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat.”

dan hadis kedua,

Hadis riwayat Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77

“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”

Tersentap bukan. Ya dari situ lah puncanya kenapa kita masih begini.
Saya tidak lah tujukan kepada siapa-siapa sebab majoritinya juga sama termasuklah saya sendiri.
Disebabkan sistem pendidikan negara yang seperti kilang ini lah yang menjadikan kita mencari ilmu hanya untuk dunia. Kita juga hanya belajar untuk mendapat kerja. Kita juga hanya belajar untuk menjadi kaya dan kumpul harta. Mecari redha? Mungkin ada mungkin juga tidak ada.



Semoga sisa-sisa masa yang berbaki ini menjadikan kita hambaNya yang melakukan apa sahaja hanya untuk mendapat redha Tuhan kita. Termasuklah menuntut ilmu ini. Kerana matlamat kita bukan dunia tapi syurga. Insha Allah.


Pencinta Tuhan,

22.10.2014



No comments:

Post a Comment